Dengan Anwar Ibrahim didakwa di Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 10 pagi ini, mungkin Najib menarik sedikit nafas lega. Sesungguhnya pertarungan 2 individu ini untuk menggantikan Paklah sebagai PM Malaysia yang baru perlu kita ikuti dengan penuh minat.

Benar, Anwar Ibrahim terkenal dengan pendekatan politiknya yang licik dan penuh strategi, namun mana mungkin Najib akan membiarkan begitu sahaja. Sebaik sahaja diumumkan 16 Ogos hari penamaan calon dan 26 Ogos sebagai tarikh pengundian di Permatang Pauh, serentak itu juga bukti mendakwa Anwar dikatakan telah cukup, lalu disampaikan sapina kepadanya. Walaupun, SPR menegaskan Anwar masih boleh bertanding selagi tidak disabitkan dengan kes jenayah, kita yakin Anwar tidak akan dapat bertanding dengan mudah. Masih ada 1001 halangan yang perlu dihadapi.

Lihat sahaja kes Altantuya yang masih belum berpenghujung, walaupun suatu ketika kelihatan nasib malang akan berpihak kepada Najib. Kini beliau kembali selamat. Dan sekali lagi, juga atas sebab untuk mengalihkan perhatian rakyat dari kes ini, lalu timbul kes liwat yang mengaitkan Anwar dan Saiful; bekas pembantunya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui pihak mana yang benar dan pihak mana yang salah.

Dan dalam pertarungan Anwar dan Najib ; kelihatan seolah Najib mendahului seketika buat waktu ini. Selebihnya kita serahkan kepada ketentuan Allah. Adakalanya, di saat infalsi yang meningkat sehingga 7.7 % dan harga minyak dunia semakin turun, kerajaan perlu menyemak semula harga minyak. Jika tidak, walaupun Anwar mungkin tidak dapat bertanding, tidak mustahil pengundi Permatang Pauh memberikan isyarat yang paling jelas kepada pemerintah dengan memastikan calon UMNO dan BN hilang wang deposit!

p/s: Dato’ Dr Mashitah Ibrahim mempertahankan kenyataan beliau bahawa harus untuk membuat pinjaman dalam menunaikan haji. Ia berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2005. Sekali lagi umat Islam pening kepala.