Apa yang dibimbangi kini berlaku. Meskipun Tuan Guru Nik Aziz menyatakan mesej yang jelas bahawa UMNO dan PAS perlu dibubarkan dan menubuhkan sebuah parti baru yang berlandaskan Islam(Dengan kata lain, maksud tersirat Tuan Guru ialah UMNO perlu bersama PAS memperjuangkan Islam dan bukan PAS bersama UMNO), kenyataan beliau telah dimanipulasikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak ; Datuk Seri Tajol Rosli.

Beliau menawarkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang diketuai Menteri Besarnya oleh ADUN PAS ; Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin untuk berkongsi kuasa dengan UMNO dan BN serta sanggup menerima MB dari PAS. Tetapi tawaran itu cepat dimatikan dengan kenyataan tegas oleh MB Perak bahawa PAS Perak tetap bersama Pakatan Rakyat.

PAS perlu lebih berhati-hati kerana UMNO akan terus menerus menggugat keutuhan Pakatan Rakyat termasuk membidas DAP untuk menunjukkan seolah-olahnya mereka “membela” PAS. Apapun kita yakin pucuk pimpinan tertinggi PAS akan mengambil segala perkiraan yang tepat dalam isu muqabalah bersama UMNO(nampaknya Utusan Malaysia dan Berita Harian terus menggunakan perkataan muzakarah).

Moga Allah melindungi parti/jamaah/kumpulan yang berusaha mendaulatkan agama Allah, walaupun di depan sana semakin hebat cabaran dan dugaan yang dihadapi. Benarlah kata Allah bahawa perjuangan menegakkan agama Allah itu masih jauh dan hanya istiqamah, keyakinan masa depan pasti milik Islam serta bersangka baik kepada Allah ; faktor utama kejayaan gerakan Islam seperti PAS untuk terus teguh mendepani rintangan di persada poltik tanahair.