Hadi nyatakan kesediaan, Nik Aziz mahu dihentikan segera
KUALA TERENGGANU: Pemimpin Pas mula berbalah berhubung cadangan mengadakan muzakarah dengan Umno bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam dan kepentingan umat Islam negara ini. Ketika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu menjayakan muzakarah berkenaan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula mahu usaha itu dihentikan segera.
Malah, Menteri Besar Kelantan itu tidak gembira dengan kenyataan Abdul Hadi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengesahkan pertemuan pemimpin tertinggi Umno dan Pas sebelum ini. Abdul Hadi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, berkata Pas sudah bersedia untuk menjayakan muzakarah dengan Umno demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu. Beliau turut mengesahkan pemimpin tertinggi parti itu pernah mengadakan pertemuan dengan Abdullah yang juga Presiden Umno, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu.
Perjumpaan pertama dengan Abdullah membabitkan pemimpin Pas yang diwakili Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad. Abdul Hadi berkata, pertemuan itu yang membincangkan kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu, sudah dilaporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas. “Berikutan itu, Majlis Syura Ulama Pas bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas bagi mempertingkatkan usaha menyatupadukan umat Islam dan rakyat negara ini berlandaskan Islam. “Satu pertemuan lagi diadakan di bangunan Parlimen membabitkan Nasharuddin dan Abdullah yang juga sudah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulama,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri mengesahkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti sudah mengadakan tiga pertemuan dan beliau bersedia memulakan muzakarah dengan pemimpin Pas secepat mungkin. Muzakarah itu dicadangkan oleh Abdul Hadi dalam satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu. Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz pada sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, semalam, mahu semua pemimpin parti itu menghentikan segera usaha mengadakan muzakarah dengan Umno kerana menganggap ia boleh memecah-belahkan perpaduan ahli Pas dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. “Jika mahu diadakan muzakarah, ia boleh diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, itupun sekiranya keadaan memerlukan. “Saya menolak muzakarah. Saya minta pemimpin dan ahli Pas menghentikan kerja ini (muzakarah) dan menumpukan kepada perkara lain. “Saya ingin tegaskan ini adalah kenyataan terakhir saya mengenai muzakarah.
Tindakan selanjutnya terserah pada parti,” katanya. Nik Abdul Aziz berkata, isu muzakarah menimbulkan kemarahan ahli Pas dan pada masa sama parti itu berdepan kemarahan rakan dalam Pakatan Rakyat yang boleh menyebabkan Pas dipencilkan. “Kalau berpolitik macam ini, ertinya politik kita (Pas) untuk tolong lawan, bukannya jaga kestabilan diri sendiri (Pas). Ini bukan politik, ia perangkap namanya dan keadaan ini adalah satu kejayaan pada pihak lawan yang boleh memperbesarkan isu yang bukan-bukan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Hadi menghentikan segera usaha ke arah muzakarah kerana muktamar Pas sudah hampir tiba. Beliau bagaimanapun menafikan perkembangan itu menunjukkan hubungannya dengan Abdul Hadi sudah tiada persefahaman.
Ulasan : Awas perangkap UMNO dan media massa di bawah kawalannya. Diharap pimpinan PAS bijak mengambil tindakan dalam menangani isu muzakarah dengan UMNO. Bimbang sekiranya ia bakal menimbulkan rasa sangsi di kalangan ahli dan anggota Pakatan Rakyat !