July 2008



Saya cuba menyimpulkan begini. Muqabalah ini tidak akan berjaya selagi :

1) Pihak UMNO tidak mengakui kesalahannya selama ini di atas penafian kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu serta penghinaan kepada agama Islam selama ini.

2) PAS masih ada keraguan terhadap kesungguhan UMNO untuk mendahulukan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan utama dalam muqabalah.

3) Adanya penentangan besar dari penyokong kedua-dua parti. Ini kerana tiada parti tanpa pimpinan dan tiada pimpinan tanpa ahli. Apa yang lebih penting, ahli mungkin menuntut agar tujuan parti ditubuhkan dipertahankan.(UMNO dengan semangat nasionalisme keMelayuan dan PAS dengan dasar mendaulatkan Islam).

4) Media massa pro UMNO akan terus menggambarkan seolah-olah PAS bersedia menurut kehendak UMNO dan PAS yang sedar perkara ini, akan menarik diri dari muqabalah.

5) Masanya belum sampai pada saat ini dan tidak diizinkan Allah.

p/s: Pusrawi menafikan laporan yang dikeluarkan oleh Dr Osman Hamid tentang aduan sukar membuang air besar oleh Saiful berkaitan dengan isu diliwat oleh Anwar. Mereka menyatakan laporan perubatan yang disiarkan di Internet dalam tempoh 2-3 hari ini adalah palsu. Pulangkan kepada Allah kebenarannya. Yang batil akan terbongkar !

Advertisements

Peristiwa Rasulullah SAW Isra’ dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi’raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan Baginda yang kedua terbesar sesudah al-Quran al-Karim. Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:

“Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW, iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Tujuan Isra’ dan Mi’raj adalah agar hambaNya dan RasulNya (Muhammad SAW) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah SWT serta keajaiban-keajaiban ciptaanNya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak jangkau oleh akal fikiran mereka.

Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci”.

Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat Baginda yang berupa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengagumkan sesudah mukjizat Baginda berupa kitab suci al-Quran yang sehingga sekarang bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya. Tidak ada makhluk yang berupaya mengubahkannya.

Isra’ dan Mi’raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah SWT untuk mengalaminya, hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan Baginda di sisi Allah SAW” [Qishah al-Mi’raj (edisi terjemahan oleh A. Zakiy dengan judul Menyingkap Rahasia Isra’ – Mi’raj Rasulullah; Pustaka Setia, Bandung 2000), ms. 13]

Apabila Rasulullah SAW kembali daripada Isra’ dan Mi’raj, Baginda menerangkannya kepada kaumnya di Kota Makkah akan peristiwa yang baru dialaminya. Sebahagian daripada orang Islam yang lemah imannya mengingkari khabar tersebut dan murtad daripada Islam. Sementara yang selainnya daripada kalangan kaum kafir turut menolak khabar tersebut. Mereka menuduh Baginda hanya berdusta atau setidak-tidaknya baginda hanyalah bermimpi.

Penolakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran modernis atau Islam Liberal yang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga apa jua petunjuk wahyu yang tidak logik di sisi akal mereka akan ditolak atau didustakan.

PENGAJARAN DAN TELADAN

PERISTIWA Israk dan Mikraj mengandungi banyak pengajaran yang perlu dijadikan teladan dan pengajaran oleh umat Islam bagi menimbulkan keinsafan dalam diri untuk ke arah kebaikan. Di antara pengajaran itu ialah:

i. Kuasa Allah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa saja yang dikehendakiNya seperti membawa Rasulullah dari kota Makkah ke Baitulmaqdis dan dibawa menghadap ke hadratNya di Sidratul Muntaha dalam tempoh singkat iaitu satu malam. Ini kerana apabila Rasulullah menceritakan peristiwa ini kepada masyarakat umum di Makkah, mereka mentertawakan Baginda. Hanya Saidina Abu Bakar mempercayai kata-kata Rasulullah dan beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.

ii. Sebelum Rasulullah diIsrakkan, Baginda menjalani suatu `pembedahan’ untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah, kita perlu membersihkan diri dan jiwa daripada pelbagai sifat buruk dan menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri. Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah SWT.

iii. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami oleh Rasulullah ketika Israk bersama malaikat Jibril memberikan gambaran menyeluruh perihal manusia di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan manakala yang lain kekal dalam kemaksiatan. Manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka dan menerima balasan yang setimpal daripada Allah berpandukan kepada apa yang mereka kerjakan. Orang yang melakukan perbuatan zina dan minum arak, hukumannya di sisi Allah sangat dahsyat. Mereka dibakar oleh api neraka jahanam.

iv. Rasulullah ditunjukkan segolongan manusia yang menjunjung kayu api, diambilnya kayu api itu ke atas junjungannya, ditambah-tambahnya bukan dikurangkan sehingga badan menjadi bongkok dan tidak terdaya menjunjungkannya lagi. Ini gambaran kepada orang yang suka memikul pelbagai tanggungjawab yang banyak, tetapi tidak tertunai olehnya. Hanya untuk bermegah-megah dengan pelbagai jawatan di dunia.

v. Allah juga menunjukkan kepada Rasulullah serta umatnya iman dan akidah teguh adalah asas kepada sifat keIslaman sejati dan akan diberi balasan baik olehNya. Ini berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga yang mana kuburnya senantiasa berbau harum semerbak sepanjang zaman.

vi . Rasulullah memilih susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibril. Ini jelas menunjukkan bahawa susu adalah minuman berkhasiat. Arak pula tidak disukai Baginda dan Allah kerana memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah.

vii. Beberapa tempat yang disinggahi Rasulullah untuk mengerjakan solat seperti di Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil al- Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia. Oleh itu, jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana [mengerjakan haji atau umrah] adalah disunatkan untuk mengerjakan solat di tempat –tempat tersebut.

viii. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah sebagai kekasihNya berulang kali (sebanyak sembilan kali), Allah mengurangkannya kepada lima kali saja sehari semalam seperti yang kita kerjakan hari ini, Amalan sembahyang merupakan amalan yang dipinggirkan oleh sebahagian besar umat Islam berbanding dengan amalan-amalan lain seperti berpuasa yang diamalkan kebanyakan orang Islam, walaupun terpaksa berlapar dan berdahaga. Amalan sembahyang yang tidak memakan masa yang panjang dan ringkas, umat Islam meninggalkannya. Lebih 80% umat Islam di Malaysia meninggalkan amalan sembahyang 5 waktu sehari semalam.

Perkara ini dinyatakan oleh pakar motivasi Dr. Mohd. Kamsah dalam kajian beliau umat Islam meringan-ringankan sembahyang, sedangkan sembahyang menjadi “tiang agama”. Perkara pertama akan yang disoal di akhirat kelak ialah “persoalan sembanyang”. Jika baik sembahyangnya, maka baiklah segala amalannya di dunia ini. Allah SWT tidak akan memberi pahala kepada orang yang melakukan kebaikan kepada orang-orang yang meninggalkan sembahyang.

ix. Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi adalah ayat suci al-Quran banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah kepada Rasulullah ketika menhadapNya.

KESIMPULAN

Kejadian yang berlaku dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini perlu diperhalusi oleh umat Islam bagi memantapkan akidah dan keimanan mereka di samping melakukan muhasabah diri untuk mengubah akhlak ke arah kebaikan dengan mengambil pengajaran daripada kebesaran dan keajaiban yang berlaku ketika pelbagai peristiwa yang ditemui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu pengajaran kepada umat manusia.

Martabat dan maruah umat Islam tidak akan dihormati oleh bukan Islam selagi umat Islam sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Keagungan Islam pada masa zaman silam disebabkan umat Islam ketika itu mengamalkan ajaran yang diajar oleh al-Quran dan al-Hadith. Meninggalkan dua perkara ini, keagungan Islam tersebut hancur satu demi satu. Untuk mengembalikan keagungan Islam, mahu tidak mahu kita wajib ikut perintah Rasulullah SAW. Tidak boleh menggunakan doktrin mengikut fikiran manusia yang senantiasa dipengaruhi oleh hawa-nafsu.

Apa yang dibimbangi kini berlaku. Meskipun Tuan Guru Nik Aziz menyatakan mesej yang jelas bahawa UMNO dan PAS perlu dibubarkan dan menubuhkan sebuah parti baru yang berlandaskan Islam(Dengan kata lain, maksud tersirat Tuan Guru ialah UMNO perlu bersama PAS memperjuangkan Islam dan bukan PAS bersama UMNO), kenyataan beliau telah dimanipulasikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak ; Datuk Seri Tajol Rosli.

Beliau menawarkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang diketuai Menteri Besarnya oleh ADUN PAS ; Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin untuk berkongsi kuasa dengan UMNO dan BN serta sanggup menerima MB dari PAS. Tetapi tawaran itu cepat dimatikan dengan kenyataan tegas oleh MB Perak bahawa PAS Perak tetap bersama Pakatan Rakyat.

PAS perlu lebih berhati-hati kerana UMNO akan terus menerus menggugat keutuhan Pakatan Rakyat termasuk membidas DAP untuk menunjukkan seolah-olahnya mereka “membela” PAS. Apapun kita yakin pucuk pimpinan tertinggi PAS akan mengambil segala perkiraan yang tepat dalam isu muqabalah bersama UMNO(nampaknya Utusan Malaysia dan Berita Harian terus menggunakan perkataan muzakarah).

Moga Allah melindungi parti/jamaah/kumpulan yang berusaha mendaulatkan agama Allah, walaupun di depan sana semakin hebat cabaran dan dugaan yang dihadapi. Benarlah kata Allah bahawa perjuangan menegakkan agama Allah itu masih jauh dan hanya istiqamah, keyakinan masa depan pasti milik Islam serta bersangka baik kepada Allah ; faktor utama kejayaan gerakan Islam seperti PAS untuk terus teguh mendepani rintangan di persada poltik tanahair.


Tajdid Iman : Dr Juanda Yahya

Palestin lambang dakwah umat Muhammad, namun kini Yahudi bermaharajalela

KRONOLOGI peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi bacaan wajib orang Islam yang memperingatinya setiap tahun. Tiada rasa jemu membaca kisah perjalanan agung yang hakikatnya umpama hadiah istimewa bagi Baginda SAW daripada Allah. Tujuan membawa Rasulullah SAW menikmati tanda kebesaran Allah pada malam itu ialah supaya Baginda SAW mendapat kekuatan baru untuk menghadapi keperitan dalam mengharungi medan dakwah yang kejam.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1) Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada Baginda SAW adalah kehebatan perjalanan itu yang hanya menghabiskan masa semalaman menggunakan kenderaan buraq yang tidak pernah dikenal manusia. Malah, Baginda SAW menjelajah dari Masjidil Haram hingga ke Palestin dan dimikrajkan ke hadapan Allah untuk menerima kewajipan sembahyang sebagai amanah bagi umatnya. Kehebatan perjalanan itu sukar diterima dengan akal semata-mata. Nyata satu lagi bukti kekuasaan Allah mencabar keimanan orang Islam yang belum kuat imannya untuk menerima dengan sebulat hati kebenaran peristiwa itu.

Malam itu, Rasulullah berjumpa nabi di Baitul Maqdis, melakukan sembahyang berjemaah kemudian naik ke langit pertama hingga ke tujuh lapisnya. Langit pertama, Baginda SAW berjumpa Nabi Adam, beliau mengalu-alukan kedatangan Rasulullah SAW. Di situ diperlihatkan roh syuhada berada di sebelah kanan Nabi Adam dan di kirinya pula roh manusia malang. Di langit kedua bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris, langit kelima Baginda melihat Nabi Harun dan mengucap salam kepadanya.

Tiba di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa sehingga jatuhlah air mata Musa memandang Rasulullah SAW seraya berkata: “Aku menangis kerana orang muda yang diutuskan selepasku tetapi umatnya masuk syurga lebih ramai daripada umatku.” Dan terakhir berada di langit ketujuh bersama Nabi Ibrahim. Bagaimanakah rasanya berjumpa dengan nabi yang mempunyai misi sama dengan Baginda SAW? Bagaikan perhimpunan melepas kerinduan bersama insan pilihan Allah. Perjumpaan yang sungguh bermakna menyimpan satu misi kesatuan semangat dan perjuangan dakwah demi menegakkan tauhid di atas muka bumi ini.

Diharapkan Rasulullah SAW sentiasa mengingati sejarah dakwah nabi terdahulu supaya menjadi teladan dan contoh terbaik dalam kesabaran, kecekalan dan kesungguhan yang tiada habisnya. Selagi mana Allah belum memutuskan untuk mengakhiri misi dakwah selagi itu tiada kata berhenti dan menyerah kalah. Adakah diterima atau ditentang, hal itu bukan suatu masalah kerana Rasulullah SAW hanya ditugaskan untuk menyampaikan, yang memastikan dakwah diterima dan berjaya adalah Allah. Betapa semangat itu yang diperlukan Rasulullah SAW selepas menghadapi tentangan terlampau kejam kafir Quraisy selepas kematian Abu Talib dan isteri tercinta Ummul Mukminin Khadijah. Selepas itu, Baginda SAW dinaikan ke Sidratul Muntaha, di situ diperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang lain iaitu, Baitul Makmur tempat tawafnya Malaikat yang memenuhi langit dan bumi.

Akhirnya sampailah ke kemuncak peristiwa terindah di sepanjang kehidupan Rasulullah SAW apabila dimikrajkan naik menghadap Allah. Lalu hampirlah Baginda SAW dengan Allah seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir lagi. Tidak dapat dibayangkan keadaan seorang hamba yang berada dekat dengan Allah. Perasaan Rasulullah SAW itu turut dikongsi bersama umatnya melalui perjumpaan ketika mereka sujud menyembah Allah. Betapa indahnya falsafah cuba diungkapkan melalui perhubungan suci antara hamba dan Tuhannya. Ketika kita solat hakikatnya kita menghadap raja segala raja dan puji-pujian menjadi alat komunikasi paling efektif untuk menagih cinta Yang Maha Agung.

Penentangan itu sampai pada batas melampau ketika mereka diceritakan peristiwa Rasulullah SAW mengembara ke Masjidil Aqsa dan naik ke langit berjumpa Tuhannya. Berkata Ibnu al-Qayyim: “Rasulullah SAW menceritakan kepada kaumnya apa yang diperlihatkan Allah kepadanya. Mendengar cerita itu mereka bertambah tidak percaya dan semakin menyakitinya.

Namun penentangan mereka tidak menyebabkan Rasulullah SAW gentar dan takut. Bahkan selepas menyaksikan gambaran syurga dan neraka serta tanda kebesaran yang diperlihatkan pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertambah yakin dan cekal menghadapi kekejaman kaumnya. Jika kita amati surah al-Israk yang menceritakan perjalanan Nabi SAW itu hanya pada satu ayat dan ayat seterusnya ialah pendedahan kejahatan orang Yahudi. Penulis kitab sirah al-Rahiq al-Makhtum, al-Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri cuba menganalisis hal itu.

Beliau berkata: “Sesungguhnya Allah menggunakan pendekatan ini (surah al-Israk) untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Israk berlaku di Baitul Maqdis kerana orang Yahudi akan disingkirkan daripada memimpin umat manusia. Allah akan memindahkan kepemimpinan kepada Rasulullah SAW, iaitu berpindah dari satu umat sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada satu umat lain yang melahirkan kebaikan bersama Rasul mendapat wahyu menuju ke jalan lurus. Mesej Israk ke Baitul Maqdis ialah ingatan bahawa Palestin adalah lambang kemunculan dakwah umat Muhammad SAW dan berakhirnya kejahatan Yahudi. Namun kini keadaan bertukar sebaliknya, Yahudi bermaharajalela di bumi Allah.

Palestin yang hilang sepatutnya kita tebus dengan perjuangan bersama seluruh dunia Islam. Tunjukkan solidariti untuk tanah air kita bersama, negeri Palestin, bumi yang melahirkan Nabi dan Rasul. Lahirkan anak segagah Salahuddin al-Ayyubi, kerahkan kekuatan untuk menebus kembali tanah yang pernah dimerdekakan Umar al-Khattab. Setiap tahun kita menyambut Israk dan Mikraj, tetapi apakah semangat dakwah Rasulullah SAW sudah terpahat di hati kita?

Yang dimaksudkan dengan Al-Isra’ di sini ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dan Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al- Aqsa di Al-Quds di Palestin, adapun Mikraj pula ialah peristiwa naik kelapisan langit tertinggi di mana Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil, kesemuanya ini berlaku dalam semalam sahaja.Pendapat sejarah telah berbelah bagi tentang masa berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj ini. Ada yang mengatakan berlakunya dalam tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan baginda. Pendapat Ibnu Sa’d yang telah digariskan di dalam kitabnya “AT-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mukjizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah RasuluLlah.
Terdapat satu persoalan yang lain pula telah ditimbulkan iaitu apakah perjalanan RasuluLlah ini dengan ruhnya sahaja ataupun ruh dan jasad sekali. Pendapat ramai orang Islam ialah nabi disertai dengan jasad sekali dan di sinilah baru ternampaknya mukjizat pengembaraan baginda yang mulia yang telah dikurniakan kepada junjungan kita Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Tentang kisah pengembaraan ini telah dihidangkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan selengkapnya. Di malam yang bersejarah ini RasuluLlah telah menunggang “Buraq” sejenis binatang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari baghal. Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang.
Setelah baginda sampai dan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa serta menunaikan sembahyang dua raka’at, Jibril membawa baginda dua biji gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. RasuluLlah memilih susu, lalu Jibril pun berkata: “Engkau telah memilih yang fitrah dan semulajadi” Setelah itu barulah RasuluLlah naik ke langit pertama, ke dua, ke tiga dan seterusnya dibawa ke “Sidratul Muntaha” dan di situlah Allah menyampaikan kepada baginda segala apa yang telah disampaikan. Antaranya Allah menyampaikan kewajiban sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya diwajibkan lima puluh raka’at sehari semalam.Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita dari RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang Musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik dan mengetawakan ini, kepada yang lain untuk diketawakan.
Di samping itu terdapat di antara mereka yang mencabar RasuluLlah dengan meminta supaya menceritakan dan membuat satu gambaran tentang “Baitul Muqaddis” yang telah dilihat oleh RasuluLlah kalaulah betul baginda telah pergi dan sembahyang di dalamnya. Sebenamya untuk membuat gambaran atau laporan memang sukar kerana di masa itu tidak terlintas di ruangan kepala dan ingatan baginda SallaLlahu ‘alaihi Wasallam untuk meneliti sehalusnya berapa tiang, berapa pintu dan sebagainya. Walaupun begitu Allah Subhanahu Wa ta’ala telah menampakkan di mata kasar RasuluLlah gambar dan pemandangan Baitul Muqaddis secara terperinci dengan tiga dimensinya.
Ini membawa RasuluLlah dapat menjawab pertanyaan yang dihadapkan kepada baginda dan dengan ini juga baginda dapat menjawab cabaran mereka tadi dengan menjawab selengkapnya segala pertanyaan mereka.Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, katanya: “Puak Quraisy telah mendusta segala cakapku, kemudian akupun bangun ke anjung (Saidina Ismail). Lepas itu Allah pun menampakkan kepadaku “Baitul Muqaddis”, membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Muqaddis yang dipaparkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.Beberapa orang Musyrikin yang telah mendengar cerita Isra’ dan Mikraj itu berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat dan kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab; “Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu”.
Pada subuh pagi hari Isra’ itu jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Adapun RasuluLlah sebelum diturunkan sembahyang itu padanya, baginda sembahyang dua raka’at pagi dan dua raka’at petang. Segala-galanya adalah mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.
PENGAJARAN DAN RENUNGANSepatah kata mengenai RasuluLlah dan mukjizat:- Setengah-setengah pengkaji sejarah RasuluLlah begitu gemar memperbesar-besarkan sangat tentang penghidupan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa. Ini mereka lakukan ketika mengulas dengan panjang lebar bahawa kehidupan seharian baginda sebagai tidak berpaut dan bertaut dengan perkara-perkara luar biasa iaitu mukjizat. Mereka mengatakan bahawa baginda pernah menegaskan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan mukjizat. Pengulasan mereka itu bersandarkan kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang bermaksud: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya perkara perkara mukjizat itu berada di sisi Allah”. [Surah Al-An’am 6: 109]
Gambaran ini menyebabkan sipembaca sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaibi Wassalam akan mendapat gambaran di kepalanya bahawa penghidupan seharian Nabi Muhammad itu memang jauh dan tidak berbau langsung dengan perkara-perkara yang selalunya dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada para anbiya’Nya yang terdahulu untuk menyokong dan memperkuatkan risalah dan pengutusan mereka.Bila kita perhatikan dan mengkaji dengan teliti tentang pendapat dan teori ini nescaya ternampak tembelangnya kerana pendapat mi adalah dianjurkan dan didokong oleh para orientalis seperti Gustov Lobon, Ojist Kont, Hume, Gold Zihar dan lain-lain lagi. Timbulnya pendapat dan teori ini adalah disebabkan oleh ketiadaan iman dan kepercayaan mereka terhadap pencipta mukjizat tadi iaitu Allah Subhanahu Wata’ala kerana apabila keimanan dengan Allah tidak menetap di sanubari seseorang itu maka persoalan dan perkara yang lain menjadi gampang belaka dan di kala ini tidak perlu lagi kepada mukjizat-mukjizat itu.Malangnya pendapat ini telah disambut baik oleh setengah-setengah orang Islam dan memang malang nasib dunia Islam di mana kalangan orang Islam sendiri telah berusaha dan bertungkus-lumus untuk menyebarkan hasil pemikiran asing ini.
Usaha penyebaran yang merosakkan ini dilakukan tidak lain kerana mereka tertawan dan tertipu dengan keindahan putar-belit barat, terpesona dengan godaan kemajuan sains dan teknologi barat. Antara mereka yang terpengaruh dengan keindahan pesona kemajuan dan teknologi barat itu ialah Syaikh Muhammad ‘Abduh, Muhammad Farid Wijdi, dan Hussain Haikal.Dan bila penyerang ideologi dan seteru Islam yang profesional mendapati ada juga orang Islam yang cuba melariskan pendapat-pendapat barat ini maka semakin bertambah luas lagi jalan dan peluang baru kepada penyerang ideologi ini untuk memasukkan dengan lebih banyak lagi racun-racun berbisa ke dalam masyarakat ummat Islam dan tidak perlu lagi taktik yang tradisional untuk melancar serangan terang-terangan terhadap aqidah Islam dan menanam fahaman athies di otak kepala orang-orang Islam.
Yang demikian mereka cuba memberi gambaran dan sifat-sifat yang tertentu kepada RasuluLlah seperti kehandalan, kepintaran, kepimpinan dan bermacam-macam lagi di dalam bentuk-bentuk yang menarik sekali dan di masa yang sama mereka cuba membuat sesuatu gambaran kehidupan RasuluLlah yang terpisah dan mukjizat dan luar biasa yang bukan bukan yang tidak boleh sampai oleh akal manusia yang singkat.Tujuan mereka berbuat demikian ialah supaya lama-kelamaan akan tercipta suatu gambaran dan nama baru mengenai diri RasuluLlah di kalangan umat Islam. Boleh jadi mereka menamakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang pintar atau Muhammad pemimpin atau Muhammad Perwira atau apa sahaja yang boleh melenyapkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam sebagai Nabi dan Rasul di mana segala sifat dan faktor keNabian, wahyu dan sebagainya dan perkara-perkara ghaib malah apa sahaja yang boleh menukarkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam dan alam keNabian dan keRasulan kepada metologi dan cerita-cenita dongeng kerana keNabian berasaskan wahyu dan mukjizat sedangkan manusia dari dongeng metologi tidak sedemikian.
Akhirnya segala-galanya ini membawa kepada suatu tanggapan dan kepercayaan bahawa sebab ramainya bilangan pengikut Nabi Muhammad tidak lain tidak bukan adalah kerana kepintaran dan kecerdikanNya. Cubalah perhatikan semuanya nampak dengan jelas dan nyata tentang maksud mereka menamakan penganut ugama Islam dengan Nabi Muhammad di tempat ‘muslimin dan Muslim’.Tetapi apakah tujuan sebenarnya di sebalik gambaran dan lukisan tentang hakikat Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang sebenarnya itu? Sekiranya ingin kita menyingkap dan mendedah di bawah cahaya logik dan kajian objektif maka ternyatalah kepada kita:
-i) Sekiranya kita kembali meneliti sekali lagi tentang zahiriyyah dan gejala wahyu itu dan telah pun kita memperkatakan selengkapnya bahawa ia menjadi unsur utama dalam penghidupan seharian Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam maka ternyata kepada kita bahawa sifat-sifat yang lain tanpa ragu-ragu lagi. Kenabian adalah satu hakikat yang tidak dapat disukat atau dipertimbangkan mengikut perasaan biasa manusia. Demikian juga mukjizat, yang merupakan anugerah istimewa dan unggul kepada peribadi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang tidak boleh dilucutkan atau dibenteras ‘mukjizat’ dan perkara-perkara luar biasa ini kecuali setelah berjaya melucutkan sama sekali sifat kenabian darinya atau akibat akhirnya ialah mengingkarkan agama itu sendiri.
Meskipun tujuan maklumat ini tidak dinyatakan sejelasnya oleh pengkaji-pengkaji dan kalangan orientalis umun dengan hanya menyebut kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, kecerdikan, keberanian, kebijaksanaannya bermain politik dan sebagainya sudah cukup untuk membayangkan dan menyatakan tujuan dan matlamat mereka itu kerana tujuan dan maksud biasanya datang selepas pembayang.Oleh kerana setengah-setengah mereka ini tidak sabar dan sanggup menahan lebih jauh lagi maka tidak ada jalan lain melainkan meluahkan isi hati mereka dengan menyatakan secara terang-terangan bahawa mempercayai agama itu sama dengan mempercayai perkara mukjizat yang mustahil.[Dr. Shibli Shamil mengatakan ini dalam muqaddimah terjemahan ke bahasa Arab sebuah buku ulasan mengenai teori Evolusi Darwin]. Bukankah engkau lebih mengetahui bahawa tidak ada erti untuk memperkatakan sesuatu tentang keengkaran atau keimanan mereka terhadap mukjizat itu, sekiranya sejak awal-awal lagi mereka telah mengingkar agama itu sendiri.
ii) Andaikata kita meneliti tentang sirah kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam kita dapati begitu banyak sekali Allah Subhanahu Wata’ala menunjukkanmu ke atas Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Semuanya tidak dapat kita tolak kerana sirahnya adalah mengikut sandaran hadith yang benar dan riwayatnya bertaut pula, yang membawa kita percaya sepenuhnya malah mencapai peringkat kita meyakininya.Antaranya peristiwa mengeluarkan air dari antara jari—jarinya yang mulia. Peristiwa ini diceritakan oleh Imam Bukhari di dalam kitab hadithnya di bawah tajuk ‘Air Sembahyang’, Imam Muslim pula mencatatkannya di dalam bab sifat, atau tingkah laku, Imam Malik meriwayatkannya di dalam kitabnya Al-Muwatta’ di bawah judul ‘Kebersihan’ dan dan para imam hadith terkemuka yang lain mengikut aliran masing-masing. Al-Zarqani sendiri yang mengambil dari Al Qurtubi menceritakan dengan katanya: ‘Sesungguhnya pengaliran air antara jari-jari Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam disebut beberapa kali di dalam beberapa tempat kejadian yang bersejarah, sirahnya mengikut berbagai aliran yang kesemuanya membawa kepada pengetahuan yang benar dan sahih terhadap peristiwa ini.
Dan di antara yang lain pula ialah hadith pembelahan bulan di zaman RasuluLlah iaitu ketika itu puak musyrikin meminta baginda melakukan sedemikian. Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam kitab hadithnya di dalam fasal ‘Ahadithul Anbiya’ dan Muslim di dalam fasal ‘Sifatul Qiyamah’ begitu juga para ‘ulama’ hadith yang lain. Ibnu Kathir berkata: ‘…. tentang ini banyak hadith mutawattir dengan sandaran yang benar dan boleh dipercayai telah memperkatakan seluruh ‘ulama’ sepakat memperkatakan tentang peristiwa yang bersejarah ini berlakunya di zaman RasuluLlah, di mana ianya merupakan antara mukjizat-mukjizat yang teragung.Yang peliknya mereka tidak berhenti-henti memperhebohkan dengan mencanangkan sifat-sifat kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam di samping melucutkan dan mengenepikan segala sesuatu yang berupa mukjizat dan sesuatu yang luar biasa dan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dan ketika yang sama mereka sengaja melupakan segala hadith yang benar dan bertaut (mutawattir), langsung tidak memberi sebarang perhatian. Positif pun tidak, negatif pun tidak juga. Seolah-olah kitab-kitab hadith tidak pun mengandungi perkara ini sedangkan apa yang dikemukakan lebih daripada sepuluh aliran dan cara saranan.
Sebabnya mereka membisu ialah untuk mengelak diri supaya tidak terjerumus kepada masalah yang rumit di mana mereka terpaksa menghadapnya ketika bersekemuka dengan hadith-hadith tadi kerana hadith-hadith ini amat terang bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berputar ligat di otak kepala mereka. [Antara mereka ialah pengarang Hayat Muhammad SaLlaLlahu ‘alaihi Wasallam yang begitu terang sekali hendak melepaskan dari ikatan hadith supaya teorinya begitu romantis dan tidak ditempelak oleh hadith itu. Beliau ialah Hussain Haekal.]
iii) Perkataan mukjizat ini bila diperhatikan dengan teliti maka didapati ia tidak mempunyai satu definasi yang tersendiri dan apa yang telah diertikan semata-mata makna dan pengertian yang nisbi atau relatif. Mengikut apa yang telah ditakrifkan, perkataan mukjizat ini bermakna perkara-perkara yang luar biasa dan perkara ini pula sering bertukar dan berubah mengikut peredaran masa, kadang-kadang berubah ertinya dan satu kebudayaan ke satu kebudayaan dan kebolehan sesuatu umat. Biasa berlaku di suatu masa yang lalu mukjizat dan luar biasa bagi puak yang perimitif yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
Tapi yang sebenarnya mengikut orang yang berfikiran waras bahawa ‘biasa dan luar biasa’ itu kesemuanya asal mukjizat dan luar biasa berlaku. Cakerawala mukjizat, peredaran planet mukjizat, akal fikiran manusia mukjizat, kuasa tarikan bumi mukjizat, perjalanan darah mukjizat, jiwa dan roh manusia mukjizat sehingga manusia sendiri pun mukjizat juga. Memang tepat sekali apa yang disifatkan oleh ahli flkir Peranchis Chateaubriand katanya: “Manusia ini ialah penghidupan metafizika”Malangnya manusia ini selalu terlupa nilai mukjizat pada keseluruhannya kerana setiap waktu berkisar dan bermain dengannya, entah kerana mereka tidak tahu atau kerana bongkak, dikira mukjizat itu hanya pada perkara yang memeranjatkan sahaja. Manusia sering membuat ukuran untuk mempercayai atau tidaknya terhadap sesuatu perkara itu berdasarkan biasa atau luar biasanya sesuatu perkara. Inilah kejahilan manusia yang paling aneh meskipun ianya telah maju di bidang kemajuan dan pengetahuan.
Sekiranya manusia itu merenung dan memerhatikan dengan penuh ketelitian ke arah ‘alam akan terhidanglah kepadanya suatu ciptaan yang semuanya serba mukjizat belaka dan akan tersinar di otak kepalanya bahawa Tuhan yang mencipta alam ini tidak mengalami kesulitan dan kesukaran baginya untuk menokok-tambah sebarang mukjizat yang lain pula ke atas ‘alam ini ataupun menukar-ganti setengah-setengah sistem yang biasa dikendalikan kepada suatu cara yang lain pula. Seorang orientalis Inggeris “William Jones” pernah menyuarakan hasil renungan beliau terhadap ‘alam ini dengan katanya: “Tidak sukar bagi tenaga yang telah mencipta ‘alam ini untuk menambah atau membuang sebahagian darinya. Memang senang untuk mengatakan bahawa perkara ini tidak tergambar di kepala manusia.
Yang sebenarnya orang yang mengatakan demikian tidak tergambar di kepalanya gambaran sebenar tentang kewujudan ‘alam ini”. Ertinya kalaulah ‘alam ini tidak ada kemudian diceritakan kepada orang yang engkar dan tidak percayakan perkara-perkara mukjizat dan luar biasa bahawa dunia ini akan ada, dengan serta merta dia akan menjawab bahawa perkara ini tidak mungkin berlaku dan tidak terlintas di kepalanya kerana keengkarannya terhadap mukjizat. Inilah apa yang harus difahami oleh setiap Muslim tentang RasuluLlah dan segala yang telah dikurniakan Tuhan kepada baginda dan mukjizat yang luar biasa.
(2) Rahsia berlakunya Isra’ dan Mikraj dalam keadaan RasuluLlah sedang mengalami cubaan:Begitu pahit dan maung sekali segala pancaroba yang dirasai oleh RasuluLlah dan pihak Quraisy dan yang paling dahsyat sekali dialami oleh RasuluLlah ialah penghinaan di Thaif seperti yang telah kita perkatakan dahulu. Di dalam doa restu baginda ke hadrat Ilahi ketika baginda berehat dan penat lelah di pokok-pokok di dusun anak-anak Rabi’ah nampak sekali kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan inilah pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin; Di dalamnya juga menampakkan pengaduan RasuluLlah kepada Allah Subhanahu WataàLA di samping merestui pertolongan dan kurniaannya, juga terbayang kegelisahan apakah ini suatu kemurkaan dari Allah kerana sesuatu perintah yang telah terlanggar.
Oleh yang demikian di antara do’a restu baginda “sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan”.Selepas itu disusuli pula dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh RasuluLlah bukanlah suatu angkara murka dari Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah Islamiyyah di setiap waktu dan ketika.
(3) Perjalanan Isra’ RasuluLlah ke Baitul Muqaddis dan keberangkatan kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Antaranya mempertandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah RasuluLlah, tegasnya wujudnya suatu pertalian dan hubungan yang rapat dan erat di antara para Anbiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke’alam ini.Peristiwa ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan tanah suci ini serta menjaganya dari sebarang rupa pencerobohan dari luar dan dalam. Inilah hikmat Ilahi yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah Baitul Muqaddis yang telah dinodai oleh tangan-tangan Zionis dan meminta dari setiap Muslim supaya membersihkan tanah ini dan noda kecemaran yang telah melandanya.
Siapakah yang mengetahui bahawa peristiwa Isra’ yang teragung inilah mendorongkan Salahuddin A1-Ayubi Rahimahullah bangun serentak menyeru kaum Muslimin menentang dan menghalau musuh salibi durjana dan berambus pulang ke Eropah semula dengan diselubungi oleh mendung kegagalan yang sial.
(4) Susu ialah yang menjadi pilihan RasuluLlah ketika Jibril membawa datang satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak; ianya sebagai simbolik kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi. Jelasnya ‘aqidah dan hukum-hakam agama mi sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia seluruhnya, tanpa ada suatu apapun di dalam Islam bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia. Andaikata ‘alam ini dan tabi’at semulajadi diibaratkan dengan suatu badan dengan dimensinya maka Islam pula ialah baju yang terpotong mengikut ukuran yang benar-benar menepati ukuran badan tadi.Inilah sebabnya mengapa Islam tersiar dengan meluasnya ke merata tempat dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Walau setinggi mana manusia mencapai tamaddun dan kemajuan kebendaan namun ia tetap mahu menjawab laungan perasaan dalaman yang bersifat semulajadi dan untuk demikian sanggup membebaskan dirinya dari belenggu rekaan yang kosot-moyot yang tidak berpijak dan berpandukan neraca semulajadi. Hanya Islam sahaja satu agama dan sistem yang unik yang boleh memberi keselesaan yang mendalam kepada neraca semula jadi manusia.
(5) Perjalanan Isra’ dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad sekali, jiwa dan badan RasuluLlah sekali. Sebilangan terbesar umat Islam di zaman lampau dan sekarang bersependapat mengatakan demikian. Imam Al Nawawi di dalam mengulas kitab Muslim menyatakan: “Pendapat yang sebenarnya seperti yang dipegang dan diperkatakan oleh sebahagian besar (majoriti) orang awam dan para fuqaha’ Islam yang terdahulu dan yang terakhir bahawa Isra’ Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam berlaku sekali lagi dengan jasad baginda. Kesan peninggalan sejarah juga membuktikan sedemikian dan tidak dapat dan tidak mungkin kenyataan. Athar ini ditolak dan ditukar dengan yang lama dan tidak boleb diengkar melainkan kalau dapat dibawa suatu penafsiran yang lain”. [Al-Nawawi Al-Sahih Muslim & Fathul Bari Al-Sahih Al-Bukhari]
Imam Ibnu Hajar di dalam kitab pengulasan hadith Bukhari menyatakan bahawa Isra’ dan Mikraj itu berlaku kedua duanya di dalam waktu satu malam, ketika Rasulullah masih sedar dan jaga dengan kedua-dua jasad dan rohnya sekali. Inilah pendapat majoriti ‘ulama’ hadith dan fuqaha’ Islam dan ‘ulama’ tauhid. Berita peristiwa ini turut berpindah dari seorang ke seorang dan tidak seharusnya menarik diri dari mempercayai centa ini kerana tidak ada suatu sebab pun yang membolehkan akal fikiran menolaknya.
Di antara bukti-bukti yang menolak keraguan apakah RasuluLlah berangkat dengan jasad dan rohnya ialah kehairanan kaum Quraisy, kerana perkhabaran itu terlalu ganjil bagi mereka. Oleh yang demikian mereka dengan serta merta mendustakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Kalaulah peristiwa ini setakat melibatkan roh sahaja maka tidak menjadi sebarang kegemparan di kalangan kaum Quraisy kerana pemandangan dan gambaran yang dilihat dalam tidur itu tidak ada sekatan dan batasan had. Kalau demikian maka perkara ini sama saja bagi orang Muslim dan kafir.
Kalau peristiwa ini berlaku dengan roh sahaja mengapa puak Quraisy begitu bersunguh sungguh untuk mengambil tahu dengan tepat tentang sifat-sifat Baitul Muqaddis, pintu, tiang dan sebagainya. Semuanya ini bertujuan untuk menekan dan mencabar Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Bagaimana boleh berlakunya peristiwa ini dan apakah boleh tergambar di otak kepala manusia? Segala-galanya berlaku sepertimana mukjizat-mukjizat yang lain boleh terjadi. Bukankah telah kita katakan bahawa ‘alam ini semuanya mukjizat dan luar biasa belaka. Kalau semua ini dapat diterima oleh akal fikiran mengapa pula yang ini tidak dapat diterima dengan mudah juga.
(6) Berwaspada dan berhati-hati dalam mencari cerita Isra’ Mikraj, agar jangan terperangkap oleh sebuah kitab yang bernama: “Mikraj Ibni ‘Abbas” kitab ini penuh bersirat dengan hadith-hadith yang palsu yang tidak ada asal dan sanadnya, memang pengarangnya yang bertujuan buruk ini cuba meletakkan pembohongan-pembohongan itu kepada Ibnu Abbas r.a., sedangkan Ibnu ‘Abbas bersih dari demikian seperti yang diketahui oleh orang-orang yang berakal, Ibnu Abbas sebenarnya tidak pemah mengarang sebarang kitab mengenai Mikraj Rasul, sebenarnya kitab ini disusun dan muncul di zaman akhiran pemerintahan Umawiyah.
Bila kitab ini ditemui oleh pendakwah-pendakwah jahat, mereka dapati banyak pembohongan yang dikaitkan kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang boleh menggoncangkan iman banyak manusia, mereka pun memperkenalkan kitab ini, mereka tonjol-tonjolkan kitab ini, (Salah seorang dan mereka yang menulis pujian dan mengagung-agungkan kitab ini, ialah Doktor Louis Audh. Kenalkah anda siapa itu Louis Audh ?) di samping mereka tahu sebelum semua orang tahu bahawa kitab ini didustakan atas nama Ibnu Abbas, hadith-hadith yang terdapat dalamnya semua palsu dan salah, tetapi terbalik songsang begitu cepat sekali yang dusta menjadi benar pada mereka, ini adalah kerana bertujuan mengelirukan pemikiran orang-orang muslimin dan dengan tujuan membuat kesamaran terhadap agama Islam.

Selamat menyambut Isra dan Mikra pada esok hari-27 Rejab 1429 Hijrah. Moga iman kita terus kekal dan bertambah mantap dengan kekuasaan Allah SWT.

Tuan Guru Haji Hadi Awang memeluk Tuan Guru Nik Aziz

Salahuddin Ayub ditemani saudara Sabki Yusof
Pimpinan Majlis Syura Ulamak PAS
Hu Pang Chaw – Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Non-Muslim)

Akhirnya segala keresahan dan kekeliruan terjawab. Dapat saya simpulkan begini :

1) Majlis Syura Ulama bersetuju untuk mengadakan muqabalah (pertemuan) dan bukannya muzakarah (perdebatan atau rundingan) dengan UMNO demi kemaslahatan umat Melayu dan agama Islam.

2) PAS tetap teguh bersama dengan Pakatan Rakyat.

3) Muqabalah tersebut tidak akan membincangkan langsung soal perkongsian kuasa apalagi penggabungan antara UMNO dan PAS.

4) Masih ada kebimbangan di kalangan penyokong PAS yang non-Muslim kerana menyedari UMNO dalam keadaan lemah dan tersepit kini.

5) Pemuda PAS menegaskan bahawa PAS tidak berminat dengan tawaran UMNO walaupun ditawar pelbagai jawatan seperti Menteri Besar, Menteri Kabinet dan sebagainya. Difahami bahawa PAS ada prinsip dan tidak mudah dibeli.

6) Kita berdoa agar PAS tidak tersilap langkah dan sentiasa bersiap siaga jika kelihatan UMNO akan mempermainkan mereka.

Isu ini kembali hangat. Bagi saya, kita serah kepada pimpinan PAS supaya bijak menilai, membuat keputusan dan berdoa mendapat pimpinan Allah. Walaupun nampak seperti ada percanggahan pendapat antara Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang, tetapi saya yakin ia tidak akan memecahkan kesatuan jamaah. Tinggal lagi, perlu bijak menangani masalah ini, tanpa ada pihak yang bermasam muka. Majlis Syura Ulama perlu menjadi pemutusnya dan mungkin suara teramai ahli parti boleh diambilkira.

Bagi saya boleh bermuzakarah tapi :
1) Pastikan UMNO ikhlas dan juga tidak meletakkan syarat tertentu
2) Pastikan UMNO memohon maaf di atas segala penafian hak selama ini kepada PAS seperti apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu
3) Pastikan PAS telah bersiap siaga dari semua sudut agar tidak dipermainkan buat kali kedua
4) Pastikan muzakarah ini tidak menjejaskan hubungan dengan ahli lain dalam Pakatan Rakyat
5) Pastikan perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini tidak tergadai dalam muzakarah ini
6) Pastikan UMNO benar-benar meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pedoman utama dalam muzakarah

Akhir kalam, semoga segala ketidakpuashatian akibat ketidakjelasan tindakan beberapa pimpinan dalam pertemuan yang telah diadakan sebelum ini dapat diselesaikan dengan kadar segera. Yakinlah, di luar sana sentiasa ada pihak musuh yang tidak senang dengan kejayaan dan kesatuan jamaah yang terbina utuh selama ini!

Next Page »