Peristiwa Rasulullah SAW Isra’ dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi’raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan Baginda yang kedua terbesar sesudah al-Quran al-Karim. Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:

“Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah SAW, iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Tujuan Isra’ dan Mi’raj adalah agar hambaNya dan RasulNya (Muhammad SAW) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah SWT serta keajaiban-keajaiban ciptaanNya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak jangkau oleh akal fikiran mereka.

Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci”.

Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat Baginda yang berupa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengagumkan sesudah mukjizat Baginda berupa kitab suci al-Quran yang sehingga sekarang bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya. Tidak ada makhluk yang berupaya mengubahkannya.

Isra’ dan Mi’raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah SWT untuk mengalaminya, hanya Nabi Muhammad SAW sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan Baginda di sisi Allah SAW” [Qishah al-Mi’raj (edisi terjemahan oleh A. Zakiy dengan judul Menyingkap Rahasia Isra’ – Mi’raj Rasulullah; Pustaka Setia, Bandung 2000), ms. 13]

Apabila Rasulullah SAW kembali daripada Isra’ dan Mi’raj, Baginda menerangkannya kepada kaumnya di Kota Makkah akan peristiwa yang baru dialaminya. Sebahagian daripada orang Islam yang lemah imannya mengingkari khabar tersebut dan murtad daripada Islam. Sementara yang selainnya daripada kalangan kaum kafir turut menolak khabar tersebut. Mereka menuduh Baginda hanya berdusta atau setidak-tidaknya baginda hanyalah bermimpi.

Penolakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran modernis atau Islam Liberal yang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga apa jua petunjuk wahyu yang tidak logik di sisi akal mereka akan ditolak atau didustakan.

PENGAJARAN DAN TELADAN

PERISTIWA Israk dan Mikraj mengandungi banyak pengajaran yang perlu dijadikan teladan dan pengajaran oleh umat Islam bagi menimbulkan keinsafan dalam diri untuk ke arah kebaikan. Di antara pengajaran itu ialah:

i. Kuasa Allah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan apa saja yang dikehendakiNya seperti membawa Rasulullah dari kota Makkah ke Baitulmaqdis dan dibawa menghadap ke hadratNya di Sidratul Muntaha dalam tempoh singkat iaitu satu malam. Ini kerana apabila Rasulullah menceritakan peristiwa ini kepada masyarakat umum di Makkah, mereka mentertawakan Baginda. Hanya Saidina Abu Bakar mempercayai kata-kata Rasulullah dan beliau diberi gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang benar.

ii. Sebelum Rasulullah diIsrakkan, Baginda menjalani suatu `pembedahan’ untuk membersihkan hati serta dimasukkan unsur rohani, iman dan hikmat. Ini menunjukkan bahawa pada peringkat pertama untuk bertemu Allah, kita perlu membersihkan diri dan jiwa daripada pelbagai sifat buruk dan menanamkan sifat baik dan ihsan dalam diri. Dengan jiwa tenang, penuh keimanan dan ketakwaan, kita akan beroleh kemudahan untuk bertemu dan menghadap Allah SWT.

iii. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami oleh Rasulullah ketika Israk bersama malaikat Jibril memberikan gambaran menyeluruh perihal manusia di bumi ini dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan manakala yang lain kekal dalam kemaksiatan. Manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka dan menerima balasan yang setimpal daripada Allah berpandukan kepada apa yang mereka kerjakan. Orang yang melakukan perbuatan zina dan minum arak, hukumannya di sisi Allah sangat dahsyat. Mereka dibakar oleh api neraka jahanam.

iv. Rasulullah ditunjukkan segolongan manusia yang menjunjung kayu api, diambilnya kayu api itu ke atas junjungannya, ditambah-tambahnya bukan dikurangkan sehingga badan menjadi bongkok dan tidak terdaya menjunjungkannya lagi. Ini gambaran kepada orang yang suka memikul pelbagai tanggungjawab yang banyak, tetapi tidak tertunai olehnya. Hanya untuk bermegah-megah dengan pelbagai jawatan di dunia.

v. Allah juga menunjukkan kepada Rasulullah serta umatnya iman dan akidah teguh adalah asas kepada sifat keIslaman sejati dan akan diberi balasan baik olehNya. Ini berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga yang mana kuburnya senantiasa berbau harum semerbak sepanjang zaman.

vi . Rasulullah memilih susu berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibril. Ini jelas menunjukkan bahawa susu adalah minuman berkhasiat. Arak pula tidak disukai Baginda dan Allah kerana memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada mengingati Allah.

vii. Beberapa tempat yang disinggahi Rasulullah untuk mengerjakan solat seperti di Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil al- Aqsa adalah tempat yang terpilih dan mulia. Oleh itu, jika kita berkesempatan untuk berkunjung ke sana [mengerjakan haji atau umrah] adalah disunatkan untuk mengerjakan solat di tempat –tempat tersebut.

viii. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula daripada perintah umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah sebagai kekasihNya berulang kali (sebanyak sembilan kali), Allah mengurangkannya kepada lima kali saja sehari semalam seperti yang kita kerjakan hari ini, Amalan sembahyang merupakan amalan yang dipinggirkan oleh sebahagian besar umat Islam berbanding dengan amalan-amalan lain seperti berpuasa yang diamalkan kebanyakan orang Islam, walaupun terpaksa berlapar dan berdahaga. Amalan sembahyang yang tidak memakan masa yang panjang dan ringkas, umat Islam meninggalkannya. Lebih 80% umat Islam di Malaysia meninggalkan amalan sembahyang 5 waktu sehari semalam.

Perkara ini dinyatakan oleh pakar motivasi Dr. Mohd. Kamsah dalam kajian beliau umat Islam meringan-ringankan sembahyang, sedangkan sembahyang menjadi “tiang agama”. Perkara pertama akan yang disoal di akhirat kelak ialah “persoalan sembanyang”. Jika baik sembahyangnya, maka baiklah segala amalannya di dunia ini. Allah SWT tidak akan memberi pahala kepada orang yang melakukan kebaikan kepada orang-orang yang meninggalkan sembahyang.

ix. Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi adalah ayat suci al-Quran banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah kepada Rasulullah ketika menhadapNya.

KESIMPULAN

Kejadian yang berlaku dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini perlu diperhalusi oleh umat Islam bagi memantapkan akidah dan keimanan mereka di samping melakukan muhasabah diri untuk mengubah akhlak ke arah kebaikan dengan mengambil pengajaran daripada kebesaran dan keajaiban yang berlaku ketika pelbagai peristiwa yang ditemui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu pengajaran kepada umat manusia.

Martabat dan maruah umat Islam tidak akan dihormati oleh bukan Islam selagi umat Islam sendiri tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Keagungan Islam pada masa zaman silam disebabkan umat Islam ketika itu mengamalkan ajaran yang diajar oleh al-Quran dan al-Hadith. Meninggalkan dua perkara ini, keagungan Islam tersebut hancur satu demi satu. Untuk mengembalikan keagungan Islam, mahu tidak mahu kita wajib ikut perintah Rasulullah SAW. Tidak boleh menggunakan doktrin mengikut fikiran manusia yang senantiasa dipengaruhi oleh hawa-nafsu.

About these ads